Nov 19, 2024 2PM
Mihas@Dubai sasar jualan RM1 bilion
Malaysia menyasarkan Penganjuran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) mencatatkan jualan hingga RM1 bilion (AS$250 juta).
Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi berkata, penganjuran MIHAS@Dubai mencerminkan visi jelas Malaysia untuk memacu industri halal negara ke peringkat global.
Katanya, ia dengan meletakkan Malaysia sebagai pemain utama dalam ekonomi halal global yang kian berkembang pesat.
“Penganjuran ini merupakan satu pencapaian yang bersejarah buat industri halal Malaysia kerana berpeluang memperkenalkan produk dan perkhidmatan halal bertaraf dunia ke pasaran antarabangsa.
“Pasaran halal global dianggarkan mencecah AS$5 trilion menjelang 2030, dipacu oleh pertumbuhan populasi Muslim dunia yang dijangka mencapai 2.2 bilion pada tahun yang sama.
Penganjuran MIHAS@Dubai mencerminkan visi jelas Malaysia untuk memacu industri halal negara ke peringkat global
“Penganjuran itu merupakan medan terbaik kepada negara untuk merebut peluang ini dengan sasaran jualan yang tinggi iaitu RM1 bilion,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Ahmad Zahid, kepentingan UAE kepada perdagangan Malaysia tidak boleh dipandang remeh.
Katanya, sebagai destinasi eksport terbesar Malaysia di rantau MENA, UAE menyumbang RM14.23 bilion (AS$3.3 bilion) atau 38.4 peratus daripada jumlah eksport Malaysia ke rantau ini pada tahun lalu.
“Eksport Malaysia ke UAE terus menunjukkan pertumbuhan kukuh, meningkat sebanyak 7.9 peratus kepada RM10.86 bilion (AS$2.5 bilion) antara Januari hingga September 2024.
“Penganjuran MIHAS di Dubai sebagai hub perdagangan global terkemuka dilihat mampu menonjolkan hubungan perdagangan yang kukuh dan membuka jalan kepada kerjasama yang lebih mendalam serta pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara,” katanya.
Bagi meneruskan diplomasi halal, Malaysia kekal konsisten untuk mencipta ekosistem halal yang lebih inklusif dan kolaboratif.
Tambahnya, selain itu, penganjuran turut menonjolkan kepelbagaian dan keterangkuman ekonomi halal meliputi sektor seperti makanan, farmaseutikal, kewangan, dan pelancongan.
Katanya, melalui Inisiatif Malaysia membangunkan Taman Halal dengan keluasan lebih 200,000 ekar, membuktikan Malaysia terus berjaya memimpin inovasi, kelestarian, dan kecemerlangan dalam industri halal global.
“Dengan penyertaan 215 syarikat Malaysia Pada pameran MIHAS@Dubai juga mencerminkan komitmen Malaysia untuk menonjolkan kecemerlangan industri halal negara terhadap kepelbagaian produk dan perkhidmatan halal.
“Penganjuran ini bukan sebagai pameran perdagangan semata-mata, tetapi juga sebagai platform untuk membina perkongsian baharu, memudahkan pertukaran pengetahuan, meningkatkan potensi dan mencapaimatlamat bersama dalam komuniti halal global.
“Bagi meneruskan diplomasi halal, Malaysia kekal konsisten untuk mencipta ekosistem halal yang lebih inklusif dan kolaboratif. MIHAS@Dubai bukan sekadar acara, penganjurannya adalah pemangkin kepada peluang baru hubungan perdagangan yang lebih kukuh, dan ekonomi negara yang lebih berdaya saing,” katanya.
Waktu Solat
21 Nov 2024
Waktu solat berikutnya,
Asr
pada
16:24